Monday 7 October 2013

3 Produk Kecantikan Mengandungi Racun


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menasihatkan orang awam supaya mengelak membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual tretinoin, asid azelaik dan merkuri.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Datuk Eisah A.Rahman berkata produk tersebut ialah Aveana Night Revival Cream yang mengandungi tretinoin, Blemished Skin Ampoules (asid azelaik) dan Golden Horse B&W Cream-GH902-1 (merkuri).
Beliau berkata penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Asid azelaik yang digunakan untuk merawat masalah jerawat dan 'rosacea' iaitu keadaan kronik di mana muka menjadi merah di kawasan dahi, hidung dan pipi hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

"Pengunaan asid azelaik tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu mengalami rasa terbakar, pedih dan kemerahan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga berkata produk yang dicampur dengan merkuri untuk mencerahkan kulit dan antipenuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan adalah tidak dibenarkan dan boleh memudaratkan kesihatan.

"Merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan," katanya.

Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutama kanak-kanak apabila produk itu disapu pada kulit meruap dan dihidu.

"Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.

Eisah berkata syarikat bertanggungjawab ke atas produk berkenaan telah diarahkan untuk menghentikan penjualan dan pembekalan dengan serta merta dan memanggil balik produk tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.

Justeru, katanya penjual yang mempunyai stok produk itu dinasihati menghentikan penjualan dan pengedaran kerana pemilikan produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Sementara syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya, katanya.

Pengguna dinasihatkan menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di talian 03-78835532 atau 03-78835534 jika mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan buruk akibat penggunaan produk kosmetik. - Bernama

Kepada pengguna yang ingin melihat banyak lagi kosmetik yang terserai berbahaya sila pergi ke laman web KKM 



2 comments:

orlyloveshop said...

Saya terkejut produk SF Beuty juga tersenarai.. Saya menggunakan produk tersebut sebelum ini. Lepas ni kena tukar ler.. :(

Fidah Shah said...

Thanks for the info. Sekarang memang terlalu banyak produk kecantikan di pasaran...nampaknya kena extra careful :)